106
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
Penterjemahan Bahasa Kiasan
Dalam Sari Kata Drama Arab Flag Of Truth
The Translation of Figurative Language from Arabic into the English
Language in a Drama Entitled Flag of Truth
Noor Eliza Abdul Rahman1 & Zulazhan Ab. Halim2
ABSTRAK
Kajian ini membincangkan strategi penterjemahan bahasa kiasan daripada bahasa Arab
ke dalam bahasa Melayu dengan menumpukan kepada aspek tashbih, isti’arah, kinayah
dan mathal dalam sari kata drama Arab Flag of Truth. Objektif kajian ini adalah untuk
mengenal pasti strategi penterjemahan yang diaplikasi oleh penyari kata dalam
menterjemahkan bahasa kiasan di samping menganalisis strategi penterjemahan yang
sesuai untuk diguna pakai dalam menangani bentuk-bentuk bahasa kiasan yang
dibincangkan. Kajian ini merupakan kajian kualitatif menggunakan analisis kandungan
untuk mendapatkan data. Kajian ini berpandukan kepada strategi penterjemahan metafora
yang dikemukakan oleh Newmark. Sebanyak sembilan sampel dipilih untuk dianalisis.
Dapatan kajian menunjukkan terdapat tiga strategi penterjemahan yang menjadi pilihan
penyari kata, iaitu penterjemahan literal, pentafsiran dan penggantian. Berdasarkan
sampel-sampel yang dipilih, penggunaan strategi penterjemahan literal adalah paling
tinggi. Kajian ini juga mendapati strategi pentafsiran tidak boleh menghasilkan
terjemahan yang terlalu panjang dan strategi penggantian pula dianggap sangat sesuai
untuk membantu penonton memahami mesej cerita dengan pantas dan mudah dalam teks
sari kata yang terikat dengan kekangan ruang dan masa.
Kata kunci: Bahasa kiasan, strategi penterjemahan, penterjemahan literal, pentafsiran,
penggantian
ABSTRACT
The study discusses strategies employed in the translation of figurative language from
Arabic into the English language in a drama entitled Flag of Truth. It focuses on four
aspects namely tashbih, isti'arah, kinayah and mathal. The main objective of the study was
to identify the strategies employed by subtitlist in translating the drama. Additionally, the
study also analysed strategies appropriate for figurative language. The study adopted
qualitative content analysis approach based on Newmark’s framework. A total of nine
samples were selected for analysis. The finding indicated that three most commonly used
translation strategies were literal, interpretation, and replacement. It was also discovered
that the most popular strategy was literal translation. Another finding was that
interpretation strategy was not supposed to generate lengthy translation while
1 Noor Eliza Abdul Rahman, PhD, pensyarah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan
Zainal Abidin, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu, [email protected].
2 Zulazhan Ab. Halim, PhD, pensyarah, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin,
Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu, [email protected].
107
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
replacement strategy was deemed appropriate in assisting viewers to grasp the message
quickly and easily given the constraints of space and time imposed by drama translation.
Keywords: Figurative language, translation strategies, literal translation, interpretation,
replacement
Pengenalan
Bahasa kiasan atau disebut juga sebagai bahasa figuratif merupakan satu gaya bahasa yang
unik dan sering digunakan oleh penulis untuk mewujudkan unsur puitis dalam karya
mereka. Bahasa Arab mempunyai pelbagai jenis bahasa kiasan seperti tashbih, isti’arah,
majaz mursal, kinayah, tajsid, tibaq, jinas dan mathal. Kajian ini memilih empat jenis
kiasan, iaitu tashbih, isti’arah, kinayah dan mathal untuk dibincangkan. Keempat-empat
jenis kiasan ini sememangnya selalu bermain di lidah penutur dan di hujung mata pena
penulis Arab. Walau bagaimanapun, proses memindahkan mesej dialog atau teks yang
mengandungi unsur- unsur kiasan ini ke dalam bahasa yang lain tidak boleh dianggap
mudah. Lebih-lebih lagi pemindahan bahasa yang melibatkan bahan audiovisual seperti
rancangan TV, VCD, DVD, wayang gambar dan internet. Oleh itu, dalam penterjemahan
bahasa kiasan, padanan yang dipilih antara dua bahasa yang mewakili dua budaya yang
berbeza harus diteliti dan dikaji. Hal ini demikian demi menjamin keindahan karya
tersebut kekal dalam terjemahannya dan pada masa yang sama untuk memastikan
terjemahan yang dihasilkan tidak menghilangkan keaslian karya asalnya.
Definisi Sari Kata
Maksud perkataan sari seperti yang dinyatakan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat
(2007: 1393) ialah pati daripada sesuatu, bahagian yang penting daripada karangan, berita,
pelajaran dan sebagainya, inti atau isi. Sari kata pula merujuk kepada terjemahan dialog
dalam filem yang disiarkan serentak dengan tayangan filem berkenaan.
Menurut Gottlieb (1998: 247), pada amnya sari kata boleh didefinisikan sebagai
“… the translation of the spoken (or written) source text of an audiovisual product into a
written target text which is added onto the images of the original product, usually at the
bottom of the screen. (… terjemahan kepada dialog sumber yang ditutur atau ditulis dalam
bahan audiovisual ke dalam bahasa sasaran, yang ditambah di atas imej produk asal,
biasanya diletakkan di bahagian bawah skrin). Wan Ida Rahimah (2007: 43) pula
mendefinisikan sari kata sebagai terjemahan dialog serta maklumat lain yang sekurang-
kurangnya melibatkan dua elemen, iaitu bahasa ujaran dan bahasa bertulis, wujud secara
sinkroni dengan ujaran sumber (ditindan di atas skrin serentak dengan ujaran sumber) dan
lazimnya dipaparkan satu atau dua baris di bahagian bawah skrin.
Definisi Tashbih, Isti’arah, Kinayah dan Mathal.
i. Tashbih - Perbandingan sesuatu dengan yang lain yang mempunyai ciri yang sama dengan
menggunakan partikel yang disebut atau tidak disebut bersamanya (Shaykhun, 1990: 23). ii. Istia’rah - Menggunakan perkataan bukan mengikut makna asal kerana wujudnya
hubungan mushabahah (persamaan atau keserupaan) antara makna yang dipindahkan
108
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
dengan makna yang asal, disertai dengan adanya qarinah (penanda) yang menghalang penggunaan makna asal itu (al-Hashimi, t.th: 239).
iii. Kinayah - Sesuatu perkataan yang disebut dengan tujuan menggambarkan makna lain yang tersirat di sebalik perkataan tersebut namun ia juga boleh merujuk kepada makna sebenar kerana tiada petunjuk yang menghalang daripada pengertian makna asalnya (al-Hashimi, t.th: 272).
iv. Mathal - Digunakan secara meluas dengan maksud contoh atau persamaan dan telah diperluaskan lagi oleh orang Arab kepada semua perkataan yang bertujuan untuk memberi perumpamaan, perbandingan antara satu perkara dengan perkara lain (Azhar, 2008: 2).
Metodologi Kajian
Kajian ini adalah kajian berbentuk kualitatif melalui analisis kandungan. Data yang
dikumpul daripada korpus kajian yang terdiri daripada teks dialog sumber dan teks sari
kata dianalisis secara deskriptif untuk mengenal pasti strategi-strategi terjemahan yang
digunakan dalam menterjemah unsur tashbih, isti’arah, kinayah dan mathal. Bahan kajian
ini ialah sari kata dialog bahasa Arab dalam drama Flag of Truth (FoT). Pemilihan data
menggunakan kaedah persampelan bertujuan (purposive sampling).
Strategi Penterjemahan Metafora Newmark
Newmark (1981) mengemukakan strategi penterjemahan metafora melalui bukunya
Approaches to Translation. Beliau membincangkan strategi atau teknik yang boleh diguna
pakai dalam menterjemah metafora antara bahasa Perancis dan bahasa Inggeris. Majdi
(2009: 104-109) telah menghuraikan strategi metafora Newmark ini dalam bukunya yang
bertajuk ماليوية: النظريات والمباديءالالترجمة بين العربية و untuk diaplikasi ketika menterjemah
bahasa kiasan dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab. Beliau menjelaskan strategi-strategi
yang disebut sebagai ستعارة أساليب ترجمة اال . Beliau turut menyatakan bahawa strategi ini
bukan sekadar boleh dimanfaatkan dalam penterjemahan isticarah sahaja, bahkan juga
boleh digunakan dalam penterjemahan bentuk-bentuk figuratif lain seperti majaz mursal,
kinayah, mathal dan sebagainya. Strategi-strategi tersebut ialah :
a. Mendatangkan padanan yang sama pada lafaz dan makna
Strategi ini bermaksud menterjemahkan bahasa kiasan sumber ke dalam bahasa sasaran dengan
bentuk figuratif atau bahasa kiasan yang boleh memberikan pengertian yang sama pada lafaz dan
makna dengan teks sumber. Dengan kata lain, menterjemahkan dengan terjemahan harfiah atau
terjemahan kata demi kata atau terjemahan literal. Proses terjemahan ini dilakukan dengan
menghasilkan semula imej yang sama dalam bahasa sasaran, dengan syarat imej berkenaan
mempunyai kekerapan penggunaan serupa dalam laras berkenaan (Newmark 1992: 136). Sebagai
contoh, frasa مفتاح النجاح diterjemahkan sebagai kunci kejayaan dan طعم السعادة diterjemahkan sebagai
rasa kebahagiaan (Majdi 2007: 104).
Walau bagaimanapun, terjemahan bentuk ini hanya boleh dilakukan sekiranya bentuk figuratif itu
sesuai dengan bahasa sasaran serta telah diguna pakai dalam masyarakat sasaran untuk
menunjukkan kepada maksud atau mesej yang sama dengan teks asal yang diterjemahkan itu.
109
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
Dalam perbincangan seterusnya, istilah ‘strategi penterjemahan literal’ digunakan bagi merujuk
kepada strategi ini.
b. Menggantikan bentuk kiasan sumber dengan kiasan sasaran
Strategi ini bermaksud menggantikan imej dalam bahasa sumber dengan imej yang lazim dalam
bahasa sasaran yang tidak bercanggah dengan budaya bahasa sasaran (Newmark 1992: 138).
Dalam strategi ini, penterjemah menggantikan bentuk figuratif dalam bahasa sumber tersebut
dengan bentuk figuratif bahasa sasaran yang berbeza pada lafaz tetapi mempunyai pengertian atau
makna yang sama. Strategi ini digunakan apabila terjemahan secara literal menyebabkan nilai
bahasa kiasan dan makna yang asal menjadi lemah atau terjemahan bentuk figuratif secara harfiah
tidak sesuai dan tidak diguna pakai dalam bahasa sasaran. Oleh itu penterjemah boleh mencari
bentuk figuratif dalam bahasa sasaran yang menunjukkan kepada makna yang sama dan boleh
menyampaikan mesej yang dikehendaki oleh teks sumber. Strategi ini dirujuk dalam perbincangan
seterusnya sebagai strategi penggantian. Contoh aplikasi strategi ini dapat dilihat dalam
menterjemah peribahasa Arab, iaitu يصيب عصفورين بحجر واحد yang bermaksud melontar dua ekor
burung menggunakan satu batu. Peribahasa Arab ini boleh diterjemahkan kepada peribahasa
Melayu sambil menyelam minum air (Mohd Sukki 2005: 503). Contoh lain ialah peribahasa Arab
yang terjemahan katawinya bermaksud setiap pelamar di atas lidahnya ada كل خاطب على لسانه تمرة
kurma. Ia boleh diterjemahkan kepada menanam tebu di bibir mulut (Mohd Sukki 2012: 109).
c. Menterjemah bentuk figuratif kepada kandungan maksudnya
Dalam situasi tertentu, penterjemah gemar menjelaskan sesuatu gambaran dengan membuat
penambahan huraian kepada bentuk gambaran itu. Penterjemah boleh menggunakan strategi ini
apabila mendapati strategi penggantian tidak efektif dan tidak jelas (Saifulah et al. 2012: 189).
Sebagai contohnya kiasan green belt diterjemahkan sebagai kawasan subur, yellow culture
diterjemahkan sebagai budaya Barat (Sulaiman 1993: 35). Contoh dalam bahasa Arab pula ialah
diterjemahkan dengan frasa menilik perkara ghaib (Mohd Sukki 2012: 109). Frasa قراءة الكف والفنجان
goyang kaki pula diterjemahkan sebagai اليفعل شيئا (Majdi 2009: 107).
Menurut Asmah (2009: 110), pemindahan maklumat daripada satu teks kepada teks bahasa
yang lain dalam bentuk penjelasan secara parafrasa dan ilustrasi tentang maksudnya,
disebut sebagai pentafsiran. Oleh itu, istilah ‘strategi pentafsiran’ digunakan bagi merujuk
strategi ini.
d. Menterjemah bahasa kiasan dengan menggunakan gaya simile
Majdi (2009: 106) menyebut, kaedah ini dianggap teknik yang agak mudah untuk mengelakkan
berlakunya pertembungan antara bentuk figuratif dengan mengekalkan struktur asal, khususnya
jika teks sasaran tidak memberikan kesan emosi. Hal ini adalah kerana simile lebih mudah
difahami berbanding metafora atau bentuk kiasan lain. Contoh penggunaan strategi ini ialah
peribahasa Arab yang berbunyi إنك تضرب في حديد بارد diterjemahkan kepada perumpamaan atau
simile bagai anjing menyalak bukit (Mohd Sukki 2005: 503). Contoh dalam bahasa lain dapat
dilihat dalam kajian Norliza et al. (2011: 489). Dalam kajian beliau, ungkapan metafora dalam
bahasa Perancis ver de terre amoureux d’une etoile yang sepatutnya bermaksud cacing tanah
cintakan sebiji bintang, telah diterjemahkan sebagai bagaikan pungguk rindukan sang bulan.
Strategi ini disebut sebagai ‘strategi simile’.
110
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
e. Menggugurkan bentuk kiasan
Kaedah ini bermaksud tidak menterjemahkan langsung metafora atau bentuk kiasan yang wujud
dalam teks. Newmark (1992: 141) menyebut, sekiranya metafora yang terdapat dalam sesuatu teks
itu tidak penting ia wajar dilesapkan, dengan syarat teks bahasa sumber itu tidak bersifat
pengumuman atau penyampaian maklumat. Majdi (2009: 109) pula menjelaskan, penterjemah
boleh menggugurkan kiasan yang wujud dalam teks, dengan syarat bentuk kiasan tersebut
merupakan elemen tambahan yang tidak ada nilai dalam teks. Kaedah atau strategi ini dinamakan
sebagai ‘strategi pelesapan’.
Analisis Kajian
i)
Sari kata Dialog
Al-Hutay’ah: Kau tinggalkan aku dan keluargamu
melayan aku seperti unta yang sakit!
.المعبد وجاثاني أهلى بيته كالبعيرالحطيئة: لقد تركتني
Episod 22 FoT
Dalam dialog di atas contoh kiasan dalam bentuk tashbih dapat dilihat dengan jelas pada
ayat كالبعير المعبدأهلى بيته وجاثاني . Kamus Besar Arab-Melayu Dewan (2006: 152)
memberikan maksud البعير sebagai unta yang boleh ditunggang dan membawa barang-
barang, biasanya apabila berumur empat tahun. Perkataan المعبد berasal daripada kata
kerja ،تعبيدا عبد، يعبد yang bermaksud menghinanya, memperhambakannya (Kamus Besar
Arab-Melayu Dewan 2006: 1499).
Unsur tashbih dalam ayat ini diterjemahkan sebagai keluargamu melayan aku
seperti unta yang sakit. Penyari kata mengaplikasi strategi penterjemahan literal dengan
memberikan padanan yang mempunyai lafaz dan pengertian yang sama dengan dialog
sumber. Penggunaan strategi penterjemahan literal dalam menangani unsur tashbih ini
mengekalkan unsur kiasan sumber dalam sari kata di samping dapat memperkenalkan
budaya masyarakat sumber kepada penonton sasaran. Sari kata yang diberikan
menunjukkan kepentingan unta dalam kehidupan masyarakat Arab hingga sering disebut
dalam puisi-puisi mereka dan dijadikan perumpamaan dalam percakapan mereka.
Walau bagaimanapun, padanan sakit dalam sari kata tidak tepat dan padanan yang
betul ialah yang hina. Pengkaji berpendapat unsur tashbih ini juga boleh ditangani dengan
strategi penggantian kiasan sumber kepada kiasan sasaran. Jika masyarakat Arab sering
menggunakan unta sebagai perbandingan, masyarakat Melayu juga sering menggunakan
binatang dalam perumpamaan dan peribahasa mereka. Contohnya bijak diumpamakan
seperti kancil, berani diumpamakan seperti harimau dan penakut diumpamakan seperti
tikus. Simbolisme bagi anjing pula merujuk kepada binatang yang hina, jahat dan tidak
disukai dalam masyarakat Melayu (Rozaimah & Amirah, 2011: 199) Terdapat bandingan
semacam yang berbunyi hina macam anjing kurap yang ditujukan kepada orang yang
hidup melarat dan merempat (Kamus Lengkap Bandingan Semacam 2011: 22). Oleh itu,
pengkaji mencadangkan satu terjemahan alternatif bagi dialog di atas sebagaimana berikut:
“Kau tinggalkan aku dan keluargamu melayan aku seperti anjing kurap.”
111
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
ii)
Sari kata Dialog
Herkules: ... kemudian bangsa Arab datang
umpama ribut dari padang pasir, menghantar
tentera menentang Parsi dan mengalahkan tentera
Yazdajard.
يرسلون جيشا إلى فرس كعاصفة من الصحراء هؤالء ويأتي هرقل:..
فيسحبون جيش يزدجرد.
Episod 22 FoT
Contoh kiasan berbentuk tashbih ditunjukkan dalam ayat هؤالء كعاصفة من الصحراء ويأتي .
Dalam ungkapan tersebut, Herkules membandingkan kemaraan tentera Islam yang pantas
dan gagah menghancurkan kekuatan musuhnya di medan pertempuran dengan عاصفة yang
bermaksud ribut (Kamus Besar Arab-Melayu Dewan 2006: 1563).
Tashbih ini diterjemahkan sebagai bangsa Arab datang umpama ribut dari padang
pasir. Penyari kata menggunakan strategi penterjemahan literal dengan mendatangkan
padanan yang sama pada lafaz dan maknanya dengan dialog sumber. Tashbih ini juga
menunjukkan pengaruh alam sekitar dan cuaca dalam bahasa kiasan Arab. Cuaca di Tanah
Arab yang sering dilanda ribut pasir turut dijelmakan dalam ungkapan kiasan mereka.
Terjemahan ini dilihat dapat menyampaikan mesej dan memperkenalkan perumpamaan
Arab. Dalam bahasa Melayu, sifat pantas dan cepat sering dibandingkan dengan kilat
seperti yang terdapat dalam bandingan semacam pantas macam kilat (Kamus Lengkap
Bandingan Semacam 2011: 41). Walau bagaimanapun, perkataan kilat tidak sesuai untuk
menggantikan perkataan ribut dalam dialog di atas kerana kilat hanya membawa konotasi
pantas atau cepat sahaja sedangkan ribut mempunyai konotasi pantas dan menghancurkan.
Terjemahan yang diberikan dianggap baik dan dapat memindahkan makumat dialog
sumber meskipun terdapat perkataan yang tidak diterjemahkan dengan tepat. Terjemahan
yang lebih tepat adalah seperti berikut:
“... kemudian mereka datang seperti ribut pasir, menghantar tentera ke Parsi dan
mengheret tentera Yazdajard.”
iii)
Sari kata Dialog
Rustum: Sungai darah bertambah hampir
Rustum. Angin kuat peperangan hampir
memecah kesunyian.
يا رستم، ها هي الرياح العاتية تمزق الهدوء. الدمي النهررستم: قد اقترب
Episod 26 FoT
Dalam dialog di atas terdapat unsur kiasan berbentuk isticarah yang dapat dilihat pada
frasa النهر الدمي. Dalam contoh ini, Rustum membandingkan darah para pejuang dalam
peperangan antara tentera Islam dengan Parsi sebagai air yang melimpah.
Isticarah ini diterjemahkan sebagai sungai darah dalam sari kata yang diberikan.
Berdasarkan terjemahan ini, penyari kata menggunakana strategi penterjemahan literal,
iaitu penyari kata menterjemahkan ke dalam bahasa sasaran dengan bentuk kiasan yang
mempunyai pengertian yang sama pada lafaz dan makna dengan dialog sumber.
112
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
Dalam bahasa Melayu, perkataan darah juga sering diumpamakan seperti air. Hal
ini dapat dilihat daripada kiasan-kiasan yang berbentuk metafora dan metonimi yang
meletakkan sifat air pada darah, seperti pertumpahan darah, bermandikan darah, lautan
darah dan dahagakan darah. Oleh itu, terjemahan ini dianggap sesuai kerana frasa sungai
darah merupakan suatu kiasan yang dapat diterima penggunaannya dalam bahasa sasaran.
Namun dalam bahasa Melayu perkataan lautan lebih banyak digunakan dalam kiasan
berbanding sungai seperti lautan api (kebakaran besar), laut madu berpantaikan sakar
(sudahlah bahasanya lembut, orangnya pun cantik) dan laut budi tepian akal (orang yang
bijaksana)(Kamus Peribahasa Kontemporari 2011: 316). Justeru pengkaji berpendapat
penggunaan perkataan lautan dalam terjemahan adalah lebih sesuai. Terjemahan yang
dicadangkan untuk dialog ini ialah:
“Lautan darah semakin hampir wahai Rustum. Inilah angin taufan yang akan
memecahkan keheningan.”
iv)
Sari kata Dialog
Al-Zubruqan: Kau dialu-alukan pada masa susah
atau senang, dan aku harap kau takkan alami masa
yang susah.
يعضك الدهر.زبرقان: أهال بك في ضيقك و سعتك. فأرجو أن ال
Episod 14 FoT
Dialog di atas memaparkan satu lagi kiasan berbentuk isticarah yang dapat dilihat pada
frasa يعضك الدهر. Perkataan عض، يعض، عضا bermaksud menggigit dan perkataan الدهر pula
bermaksud masa (Kamus Besar Arab-Melayu Dewan 2006: 1568 dan 784). Dialog ini
merupakan ungkapan al-Zubruqan untuk menjemput kedatangan al-Hutay’ah ke
tempatnya. Dalam ayat di atas, perkataan الدهر (masa atau waktu) dibandingkan dengan
Perkataan binatang buas yang menjadi mushabbah bih .(binatang buas) الحيوان المفترس
digugurkan dan digantikan dengan satu sifat kebiasaannya, iaitu menggigit.
Frasa ini diterjemahkan sebagai kau takkan alami masa yang susah. Penyari kata
menggunakan strategi pentafsiran iaitu, menterjemahkannya kepada makna atau maksud
yang tersirat di sebalik bahasa kiasan tersebut. Terjemahan ini dianggap tepat dan sesuai
untuk menyampaikan mesej sumber kepada penonton sasaran. Frasa ini tidak sesuai
diterjemahkan secara literal (masa tidak akan menggigit engkau) kerana kiasan seumpama
ini tidak digunakan oleh masyarakat sasaran. Terjemahan bagi keseluruhan dialog juga
dianggap baik dan dapat memberikan kesan yang sama seperti dialog asal.
v)
Sari kata Dialog
Mutammim: Bila dia akan kembali? cAmru: Bila perutnya sudah penuh dan mukanya
menjadi bulat.
: ومتى ترجع؟ متمم
.عندما تمتلىء مائدته وتنتفخ وجنتاه ويشبع نهمهعمرو:
Episod 22 FoT
Dalam dialog di atas terdapat bahasa kiasan berbentuk kinayah yang
menggambarkan sesuatu keadaan. Dalam dialog ini, cAmru menggambarkan kesenangan
dan kenikmatan hidup yang dicari oleh al-Hutay’ah melalui tiga sifat, iaitu تمتليء مائدته,
Kinayah di atas yang merupakan kinayah sifah diterjemahkan .يشبع نهمه dan تنتفخ وجنتاه
113
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
kepada Bila perutnya sudah penuh dan mukanya menjadi bulat. Melalui terjemahan ini,
penyari kata menggunakan strategi terjemahan literal, iaitu menterjemahkan ke dalam
bahasa sasaran dengan bentuk kiasan yang boleh memberi pengertian yang sama pada
lafaz dan makna dengan dialog sumber. Walau bagaimanapun terjemahan bagi frasa تنتفخ
pula وجنة bermaksud gelembung dan perkataan انتفخ، ينتفخ، انتفاخا tidak tepat. Perkataan وجنتاه
bermaksud bahagian pipi yang tinggi (Kamus Besar Arab-Melayu Dewan 2006: 2398,
2593). Terjemahan yang hampir dan sejadi dengan bahasa sasaran bagi frasa ini ialah
pipinya menjadi tembam. Frasa يشبع نهمه tidak diterjemahkan dalam sari kata tersebut.
Perkataan شبع، يشبع، شبعا، شبعانا bermaksud kenyang dan perkataan نهمة pula diberikan
maksudnya sebagai keperluan atau keinginan (Kamus Besar Arab-Melayu Dewan 2006:
1227, 2451).
Padanan yang diberikan dalam sari kata dianggap sesuai kerana bentuk figuratif
yang diterjemah daripada dialog sumber itu turut diguna pakai dalam masyarakat sasaran
untuk menunjukkan kepada mesej yang sama seperti mesej sumber. Di samping itu, bahasa
kiasan yang didukung oleh ayat ini juga mudah difahami oleh penonton sasaran.
Pengguguran satu frasa daripada ayat sumber tidak menjejaskan makna kerana mesej
penting telah dibawakan oleh frasa sebelumnya. Secara lengkapnya, dialog ini boleh
diterjemahkan seperti berikut:
“Apabila perutnya sudah penuh, pipinya sudah tembam dan hasratnya sudah tercapai.”
vi)
Sari kata Dialog
Yazdajard: Ya Boran. Aku mewarisi kerajaan
yang hancur. Setiap gabenor dan jeneral mahu
menjadi raja. Mereka cuma nak aku menjadi
boneka di dalam istana.
يزدجرد: بلى بوران، وقد ورثت مملكة ممزقة، كل قائد أو
ظل باردمرزبان فيها يريد أن يكون ملكا مستقلة. يريدونني مجرد
في هذا القصر.
Episod 14 FoT
Dialog di atas memaparkan kiasan berbentuk kinayah pada frasa ظل بارد. Kinayah
ini membayangkan kiasan kepada raja yang hanya mempunyai nama, namun tidak
mempunyai kuasa. Perkataan ظل bermaksud bayang-bayang, dan بارد bermaksud sejuk
(Kamus Besar Arab-Melayu Dewan 2006: 1492, 115). Dalam dialog ini, Yazdajard
menggambarkan dirinya sebagai bayang-bayang yang beku yang tidak mampu bertindak
atau membuat apa-apa dan hanya mengikut sahaja kehendak para pembesarnya.
Kinayah ini diterjemahkan sebagai boneka dalam sari kata yang diberikan. Dalam
bahasa Melayu, perkataan boneka merupakan bentuk figuratif atau kiasan bagi orang yang
menjadi alat kepada orang lain (Kamus Peribahasa Kontemporari 2011: 120). Berdasarkan
terjemahan ini, penyari kata menggunakan strategi penggantian kiasan sumber kepada
kiasan sasaran. Penyari kata telah menterjemah bentuk figuratif sumber tersebut dengan
bentuk figuratif lain dalam bahasa sasaran, yang berbeza pada lafaz, tetapi mempunyai
pengertian yang sama. Terjemahan ini dilihat dapat menyampaikan mesej sumber dengan
baik di samping dapat menghasilkan satu terjemahan yang sejadi dan berkesan kepada
penonton sasaran. Keseluruhan dialog juga disarikatakan dengan baik dan dapat
menyalurkan maklumat penting dalam cerita.
vii)
114
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
Sari kata Dialog
Jarud: Rasulullah wafat dan ditempatkan di
syurga tertinggi, dan sesungguhnya aku bersaksi
bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi
Muhammad itu utusan Allah.
وأنا أشهد أن الإله ،انتقل رسول هللا إلى الرفيق األعلىجرود: لقد
،إال هللا, وأن محمدا رسول هللا.
Episod 13 FoT
Dialog di atas memaparkan satu lagi kiasan berbentuk kinayah pada lafaz انتقل إلى
Kinayah ini merupakan kiasan untuk menggambarkan kematian atau .الرفيق األعلى
meninggal dunia. Perkataan انتقل، ينتقل، انتقاال bermaksud berpindah ke tempat lain (Kamus
Besar Arab-Melayu Dewan 2006: 2425). Perkataan الرفيق pula bermaksud teman atau
sahabat. Frasa الرفيق األعلى merujuk kepada Allah SWT. Dalam dialog ini Jarud
menjelaskan kepada golongan murtad bahawa Rasulullah adalah manusia biasa yang juga
melalui proses kematian seperti manusia lain.
Kiasan ini diterjemahkan sebagai wafat. Berdasarkan terjemahan ini, penyari kata
menggunakan strategi pentafsiran makna kiasan. Melalui strategi ini, penyari kata
memberikan pengertian atau kandungan maksud kiasan tersebut. Terjemahan ini dilihat
tepat dan amat sesuai untuk teks sari kata yang memerlukan terjemahan yang ringkas tapi
padat.
Kinayah ini juga boleh ditangani dengan strategi penggantian kiasan sumber
kepada kiasan sasaran. Dalam bahasa Melayu, terdapat banyak kiasan yang menunjukkan
kepada kematian seperti yang disebut dalam Kamus Peribahasa Kontemporari (2011: 248,
347, 351, 343) kembali ke rahmatullah, menghadap tuhan, menghembuskan nafas
terakhir, menutup mata, menemui maut atau ajal dan malaikat menjemputnya. Di antara
kiasan-kiasan ini, frasa kembali ke rahmatullah dilihat paling sesuai untuk dijadikan
padanan kepada انتقل إلى الرفيق األعلى. Hal ini kerana, perkataan kembali boleh dipadankan
dengan انتقل walaupun keduanya mempunyai maksud yang berbeza. Walau bagaimanapun,
memandangkan terjemahan ini merupakan terjemahan yang disarikatakan, penggunaan
perkataan wafat dilihat paling tepat dan sesuai kerana ia bersifat ringkas dan padat, sesuai
dengan kehendak teks sari kata yang perlu patuh kepada kekangan ruang dan masa.
Namun begitu keseluruhan teks di atas tidak diterjemahkan dengan tepat. Oleh itu,
pengkaji mencadangkan dialog ini diterjemahkan seperti berikut:
“Sesungguhnya Rasulullah telah wafat, dan aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah
melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.”
viii)
Sari kata Dialog
Herkules: Aku juga menantikan Jabalah bin al-
Ayham. Mungkin hatinya lebih jelas sekarang.
Dia orang Arab seperti mereka. Hanya keluli
yang boleh mematahkan keluli.
هرقل: وإني أنتظر جبلة بن األيهم، لعل القلب تصفو، فهو عربي مثلهم,
والحديد ال يفلح إال الحديد.
Episod 22 FoT
Contoh bahasa kiasan berbentuk mathal dapat diperhatikan dengan jelas dalam
dialog ini pada lafaz الحديد ال يفلحه إال الحديد. Perkataan فلح، يفلح، تفليحا bermaksud memperdaya
dan mengejek. الفلح diberikan maksud sebagai pembajakan (Kamus Besar Arab-Melayu
Dewan 2006: 1796). Kamus al-Khalil (2007: 723) pula memberikan makna الفلح sebagai
pecahan. Di antara pengertian yang dikemukakan oleh dua kamus ini, pengertian yang
115
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
terdapat dalam Kamus al-Khalil dilihat lebih sesuai untuk menjelaskan maksud mathal ini.
Dalam Majmac al-amthal (2003: 1/27), الفلح dijelaskan maknanya sebagai الشق، ومنه الفالح
ث ألنه يشق األرضللحر (Memecahkan. Petani dinamakan الفالح kerana kerjanya memecahkan
atau menggali tanah). Daripada penjelasan ini, dapat difahami يفلح bermaksud
memecahkan. Petani dinamakan الفالح kerana kelazimannya memecahkan tanah. Maksud
keseluruhan mathal ini ialah sesuatu bangsa itu hanya dapat dijatuhkan oleh individu dari
bangsanya sendiri atau hanya orang yang pakar dalam sesuatu perkara dapat
menyelesaikan masalah yang timbul dalam perkara tersebut.
Mathal ini diterjemahkan sebagai hanya keluli yang mematahkan keluli.
Berdasarkan terjemahan ini, penyari kata menggunakan strategi penterjemahan literal
dengan menterjemah setiap perkataan yang terdapat dalam mathal dengan perkataan yang
sama lafaz dan maksudnya dengan bahasa sasaran. Dalam bahasa Melayu, terdapat satu
peribahasa yang berbunyi hanya jauhari yang mengenal manikam. Perkataan manikam
bermaksud batu permata atau intan, manakala jauhari pula bermaksud tukang atau
saudagar permata (Kamus Dewan Edisi Keempat 2007: 994 dan 614). Peribahasa ini
bermaksud orang yang berilmu sahaja yang mengenali orang berilmu (Kamus Peribahasa
Kontemporari 2011: 231). Pengkaji berpendapat peribahasa ini juga boleh digunakan
dengan maksud sesuatu masalah itu hanya dapat diselesaikan oleh orang yang kenal,
faham dan pakar dalam bidang itu. Dengan demikian, peribahasa ini dilihat boleh
mendukung maksud yang dibawa oleh mathal di atas.
Berdasarkan perbincangan tentang peribahasa ini, pengkaji mencadangkan satu
terjemahan alternatif bagi dialog di atas, iaitu dengan menggunakan strategi penggantian
kiasan sumber dengan kiasan sasaran. Cadangan untuk terjemahan keseluruhan dialog di
atas ialah:
“Aku juga menanti Jabalah bin al-Ayham. Moga hatinya jelas. Jauhari saja yang boleh
mengenal manikam”.
ix)
Sari kata Dialog
Rustum: Wahai pejuang Parsi yang berani.
Musang akan bebas berkeliaran bila singa
mati. Aku bimbang tahun ini bukan tahun kita.
Pertahankan tanah kamu.
وإني إنما خفى الثعلب حين مات الليث.رستم: يا جند الفرس الشجعان,
أخشى أن تكون هده السنة سنة قرود، فدافعوا عن أرضكم.
Episod 26 FoT
Contoh mathal dalam dialog di atas dapat dikenali pada ungkapan إنما خفى الثعلب حين
Dialog ini diucapkan oleh ketua panglima perang Parsi, iaitu Rustum untuk .مات الليث
menaikkan semangat tenteranya sebelum memulakan peperangan dengan tentera Islam.
Perkataan خفى، يخفى، خفيا bermaksud menunjukkan atau mengeluarkan (Kamus Besar
Arab-Melayu Dewan 2006: 652). Mathal ini menggambarkan situasi apabila satu kuasa
yang kuat dapat ditumpaskan, yang lebih lemah akan mula berani menunjukkan muka.
Melalui kiasan ini, Rustum dengan angkuhnya mengumpamakan tentera Parsi sebagai
singa dan tentera Islam sebagai musang. Dalam bahasa Arab singa selalu dijadikan
bandingan bagi orang yang berani dan gagah. Manakala musang pula merupakan simbol
kepada orang yang lebih lemah, tetapi suka membuat tipu helah.
116
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
Ungkapan ini diterjemahkan sebagai musang akan bebas berkeliaran bila singa
mati. Penyari kata menggunakan strategi penterjemahan literal iaitu menterjemahkan
setiap perkataan dalam dialog sumber dengan perkataan sasaran yang mempunyai maksud
yang sama. Mathal ini juga boleh ditangani dengan strategi penggantian kiasan sumber
dengan kiasan sasaran. Hal ini kerana dalam bahasa Melayu juga terdapat kiasan yang
menggambarkan penonjolan kuasa yang lemah setelah ketiadaan kuasa besar. Antaranya
ialah bila kucing tidak bergigi, tikus berani melompat tinggi, kalau kucing tidak bermisai,
tikus tidak akan takut lagi, ibarat kayu yang tumbang kura-kura pun hendak memanjatnya
(Kamus Peribahasa Kontemporari 2011: 118, 190, 238).
Antara peribahasa Melayu ini, peribahasa bila kucing tidak bergigi, tikus berani
melompat tinggi dilihat boleh dipadankan dengan mathal dalam dialog di atas. Walau
bagaimanapun, dalam konteks perbandingan dengan tentera Islam, sudah tentu tikus bukan
merupakan kiasan yang sesuai bagi tentera Islam. Tikus adalah lambang sifat pengecut dan
lari dari pertempuran yang pastinya sangat bertentangan dengan sifat tentera Islam yang
berani berjuang dan bersungguh-sungguh mencari syahid dan kemenangan. Oleh itu
pengkaji mengemukakan cadangan alternatif yang juga menggunakan strategi
penterjemahan literal sebagaimana berikut:
“Wahai tentera Parsi yang berani, musang akan keluar setelah singa mati. Aku takut
tahun ini menjadi tahun kejatuhan kita. Pertahankan tanah kamu!”
Dapatan kajian
Kajian ini telah mengenal pasti bahawa penterjemahan bahasa kiasan tidak terbatas dengan
penggunaan satu strategi sahaja. Terdapat tiga strategi utama yang digunakan oleh penyari
kata dalam menterjemahkan bahasa kiasan. Strategi-strategi tersebut ialah strategi
penterjemahan literal, strategi pentafsiran dan strategi penggantian. Strategi penterjemahan
literal digunakan sekiranya terdapat kesesuaian pada lafaz dan makna antara bahasa
sumber dan bahasa sasaran. Strategi penggantian digunakan sekiranya terdapat kiasan
dalam bahasa sasaran yang boleh membawa mesej kiasan bahasa sumber manakala strategi
pentafsiran pula diaplikasi apabila penterjemahan literal tidak sesuai dan tiada kiasan
dalam bahasa sasaran yang dapat menggantikan kiasan dalam bahasa sumber tersebut.
Penutup
Kesimpulannya, dalam konteks kajian ini, penyari kata berjaya menterjemah unsur bahasa
kiasan yang terdapat dalam drama-drama ini. Penggunaan strategi penterjemahan literal,
strategi pentafsiran dan strategi penggantian berhasil memindahkan mesej dialog sumber.
Hanya sebahagian kecil dialog tidak ditangani dengan baik, namun kegagalan ini tidak
menjejaskan mesej drama kerana ia tidak melibatkan dialog yang penting. Pengkaji
berpendapat penggunaan strategi penggantian harus diutamakan dalam penterjemahan
bahasa kiasan ini sekiranya wujud padanan yang sesuai dalam bahasa sasaran. Terjemahan
yang dihasilkan dengan aplikasi strategi ini dilihat dapat membantu penonton memahami
dialog sumber dengan mudah, menyalurkan mesej dengan lebih berkesan kepada penonton
sasaran di samping dapat mengekalkan bentuk kiasan dan keindahan dalam berbahasa.
Tegasnya, sari kata berperanan sebagai satu medium yang dapat merapatkan jurang
komunikasi antara bangsa dan masyarakat di seluruh dunia. Oleh sebab penyarikataan
117
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
bukanlah satu proses pemindahan Bahasa yang mudah, maka kursus penterjemahan
audiovisual yang melibatkan penyarikataan Arab-Melayu wajar diberikan kepada penyari
kata agar mereka terdedah dengan teknik-teknik menghasilkan sari kata yang berkualiti,
iaitu bersifat ringkas, mudah dibaca, senang difahamai, dapat menyampaikan mesej dialog
sumber dan tidak mengganggu penonton terhadap visual.
Rujukan
Asmah Hj Omar. 2009. Penterjemahan pemindahan sistem semiotik. Jurnal Penterjemah
2: 107-119.
Azhar Muhammad. 2008. Perumpamaan Al-Quran. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi
Malaysia.
Gottlieb. H. 1998. Subtitling. Dlm. Baker, M. (pnyt.). Encyclopedia of Translations
Studies. London: Routledge.
al-Hashimi, al-Sayyid Ahmad. t.th. Jawahir al-Balaghah fi al-Macani wa al-Bayan wa al-
Badic. Edisi ke-6. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.
Kamus Besar Arab-Melayu Dewan. 2006. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan. 2007. Edisi ke-4. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Ilmiah al-Khalil. 2007. Abu Abdullah Hanafi Hj Dollah. Kuala Lumpur: Pustaka
Salam Sdn. Bhd.
Kamus Lengkap Bandingan Semacam Bergambar. 2011. Junaidi Yusuf. Kuala Lumpur:
Buku Must Sdn.Bhd.
Majdi Ibrahim. 2009. al-Tarjamah bayna al-cArabiyyah wa al-Malayuwiyyah: Al-
Nazariyyat wa al-Mabadi’. Kuala Lumpur: IIUM Press.
Majmac al-Amthal. 2003. Abu al-Fadl al-Maydani. Jil. 1&2. Beirut: Dar wa Maktabah al-
Hilal.
Mohd Sukki Othman. 2005. Penterjemahan peribahasa Arab ke peribahasa Melayu:
analisis faktor budaya dan persekitaran. Prosiding Penterjemahan Antarabangsa Ke-
10, hlm. 497-506.
Mohd Sukki Othman. 2012. Memahami faktor budaya dalam penterjemahan bahasa.
Prosiding Nadwah Bahasa dan Kesusasteraan Arab Ke-3, hlm 108-110.
Newmark, P. 1988. A Textbook of Translation. New York London: Prentice Hall.
118
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
VOL 3 BIL 2 (2016)
Newmark, P. 1992. Pendekatan penterjemahan. Terj. Zainab Ahmad & Zaiton Ab.
Rahman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Rozaimah Rashidin & Amirah Ahmad. 2011. Terjemahan ‘air’ dalam peribahasa Melayu-
Inggeris: analisis semantik kognitif. Prosiding Persidangan Penterjemahan
Antarabangsa Ke-13, hlm. 196-208.
Saifulah Samsudin, Muhammad Fauzi Jumingan, Abdul Rauf Hassan & Muhd Zulkifli
Ismail. 2012. Terjemahan metafora dalam hadis rasulullah s.a.w. Prosiding Nadwah
Bahasa dan Kesusasteraan Arab Ke 3, hlm 187-192.
Shaykhun, Mahmud al-Sayyid. 1990. Al-Balaghah Al-Wafiyah. Kaherah: Maktabah al-
Kuliyyat al-Azhariyyah.
Sulaiman Masri. 1993. Panduan pembentukan istilah bahasa Melayu untuk penterjemah.
Prosiding Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-4, hlm 31-39.
Wan Ida Rahimah. 2007. Penyuntingan dalam penyarikataan. Dlm. Hasuria Che Omar
(pnys). Penyarikataan: Satu Kaedah Penterjemahan Audiovisual, hlm. 43-54. Kuala
Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.